Tengku Zawawi menghempaskan pintu bilik yang baru dibukanya agak kuat. Dia seperti hilang pedoman. Mundar-mandir tidak tentu arah. Tengku Mahanum yang sedang tidur, terkejut mendengar hempasan pintu. Dia bingkas bangun dan menggosok-gosok matanya. Mulutnya merungut, marah dengan tindakan Tengku Zawawi menghempaskan pintu dengan kuat.
"Habis kita kali ni!" Tengku Zawawi seakan terpekik. Tengku Mahanum terpisat-pisat, hairan melihat gelagat suaminya pagi itu.
"Apa yang habis? Saham jatuh lagi ke?" ujarnya separuh marah.
"Anum dah cakap, jual jer saham-saham tu, dapat modal balik cukuplah," ujar Tengku Mahanum sambil menguap.
"Kalau Kak Engku tau, matilah kita! Rahsia dah bocor, semua dah terbongkar!" Tengku Zawawi menahan geram. Dia menghenyakkan tubuh ke katil. Peluh yang memercik di dahinya semakin lebat. Tengku Zawawi memicit kepalanya.
"Apa abang cakap ni? Saya tak faham!"
"Sharifah Adira, anak Abang Syed Suhaimi dengan Cheryl...ada di bawah!"
"What?"
"Sharifah Adira, anak Abang Syed Suhaimi dengan Cheryl..perempuan Inggeris tu, ada di bawah! Dia datang cari Shahir!"
Tengku Zawawi mengulangi penerangannya dengan lebih kuat. Tengku Mahanum seakan mahu melompat dari katil. Dia juga terkejut mendengar nama Sharifah Adira disebut.
"Betul ker abang cakap ni?" ujarnya sambil membetul-betulkan pakaian tidur yang masih terlekat di tubuhnya. "Macam mana dia boleh sampai ke sini?" Dia juga rasa berdebar.
"Sape lagi kalau bukan Shahir yang suruh dia datang. Shahir jer yang selalu tanya itu ini pasal budak tu!"
"Shahir?"
"Yelah..sape lagi?"
Tengku Mahanum semakin berdebar. Dia mengemaskan katilnya dengan pantas.
Kalau benarlah Sharifah Adira datang, bermakna dia juga dalam bahaya. Kalau kakaknya Tengku Habibah tahu, pasti dia juga akan menerima bahananya.
"Apahal pulak tiba-tiba jer dia datang ni?" soal Tengku Mahanum, menyarung selipar yang memang sudah ada di hujung katilnya.
"Abang dah agak lambat laun perkara ni akan berlaku jugak" ujar Tengku Zawawi sambil meramas rambut yang mula beruban. "Abang pon tak faham, kenapa Abang Syed nak rahsiakan sangat perkara ni. Dia bukan ada apa-apa hubungan lagi dengan Cheryl!" ujar Tengku Zawawi kesal.
Tengku Mahanum menahan debaran. Dia bergegas ke bilik air dan keluar 5 minit kemudian dengan tuala lembap yang melingkari tubuhnya. Kakinya seperti melekat di lantai. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Tengku Mahanum menjeling suaminya.
"Abang buat per lagi kat sini, pegilah jenguk budak-budak tu!" Tengku Mahanum seakan geram. Tengku Zawawi menjeling isterinya.
"Apa abang nak buat dengan budak tu? Nak peluk? Nak cium?" soal Tengku Zawawi kasar.
Tengku Mahanum selamba menanggalkan tuala di kepala dan mengeringkan tengkuk serta batang lehernya yang masih basah.
"Dia kan tetamu, layanlah dengan baik," ujar Tengku Mahanum, memakai pewangi di seluruh tubuhnya.
"Dia tetamu Shahir!" jerkah Tengku Zawawi.
"Shahir jer? Bukan abang sekali?" soal Tengku Mahanum seakan memperli.
"Dia terus cari Shahir bila sampai tadi. Shahir pon macam dah kenal sangat dengan dia!"
Tengku Mahanum terdiam. Matanya menjeling suaminya yang masih termangu.
"Abang ingat tak pertemuan kita di Bolognise d'cafe masa kita dekat Venice dulu? Shahir ada masa abang kenalkan Anum dengan Cheryl dan Adira. Agaknya lepas pertemuan tu dorang selalu berjumpa di US tak?" ujar Tengku Mahanum membuat andaian.
Tengku Zawawi diam. Tengku Mahanum mencapai blaus pendek dan seluar panjang dari almari.
"Tu 5 tahun dulu. Takkan Shahir..." kata-kata Tengku Zawawi terputus. Tengku Mahanum memintas pantas.
"...ada hubungan dengan Adira lepas tu? Senyap-senyap?"
"Manalah abang tau. Shahir pon sejak 3 4 tahun ni selalu sangat ke Eropah. Pantang ada semester break, Londonlah, Germanylah, Scotland. Mungkin dorang berjumpa kat mana-mana."
"Apa salahnya, boleh mendekatkan yang jauh, kan?" usik Tengku Mahanum sambil tersenyum. Tetapi senyumannya seperti dibuat-buat. Dan Tengku Zawawi pasti merasakan perlian isterinya setiap kali dia bersuara.
Tengku Mahanum siap berpakaian rapi. Tengku Zawawi menongkat kepala. Dia menghampiri suaminya, melingkarkan tangan ke leher Tengku Zawawi dan memberi ciuman ke rambut suaminya.
"Anum nak tengok bakal menantu kita!" bisik Tengku Mahanum ke telinga Tengku Zawawi. Tengku Zawawi mendengus.
*******************************************************************************************
Adira berasa sepi selepas ditinggalkan sendirian di ruang tamu banglo besar itu. Matanya melilau melihat candeliar yang bergantungan. Sesetengahnya masih menyimbahkan warna kuning keemasan ke merata ruang. Mangkuk dan bunga kristal bagaikan hidup di atas meja kaca bertiang besi di tengah rumah. Tidak banyak bezanya dengan rumah yang didiami bersama mamanya di barat kota London.
Tengku Shahir memintanya duduk sebentar sementara dia menukar pakaian. Dia semakin asing di rumah dan tempat yang asing itu. Adira sendiri tidak menyangka dia akan sampai juga ke rumah itu. Satu-satunya rumah yang dia tahu alamatnya. Satu-satu rumah yang dia pernah berjumpa dengan penghuninya 5 tahun yang lalu tetapi bukan di situ.
Derap perlahan tapak kaki menuruni anak tangga menangkap pendengarannya. Adira segera mengalih pandangan ke tangga yang berkisi besi keemasan. Seorang wanita memerhatikannya dengan wajah selamba. Tersenyum tidak, marah pun tidak. Tetapi mata wanita itu tidak lepas memandangnya.
Adira bangun perlahan-lahan dari sofa yang diduduki. Dia sendiri serba salah untuk berhadapan dengan wanita itu. Dia tidak berubah. Malah pony-tailnya juga masih ada, seperti yang dilihat di pinggir Sungai Venice.
Tengku Mahanum memberi isyarat supaya dia duduk semula. Bibir Adira bergerak, seperti hendak menuturkan sesuatu. Tetapi jelingan mata Tengku Mahanum amat melemahkan jiwanya. Dia seperti tidak mampu bersuara walaupun sepatah.
Auntie Mahanum, hatinya berbisik. Dia amat yakin, itulah Tengku Mahanum yang pernah dilihatnya 5 tahun lalu.
"Pukul berapa sampai tadi?" soal Tengku Mahanum dalam nada yang tidak mesra.
"Pukul 6.00 auntie," ujar Adira penuh sopan. Tengku Mahanum mengangguk.
"Sape lagi yang tau Adira ke sini?"
"Mama."
Tengku Mahanum menjeling. Adira faham kalau wanita itu tidak pernah menyukai mamanya.
"Syed Suhaimi?"
"Ayah tak tau auntie," ujar Adira perlahan.
"Kau tau tak, dunia ni boleh tunggang terbalik kalau dorang tau kau datang sini," ujar Tengku Mahanum dengan angkuh.
Adira tersentak. Alangkah kasarnya wanita ini. Memang kelembutan itu tidak terpancar di wajahnya. Tidak sama sekali. Wanita timur lembut dan sopan santun, bagaimana mitos yang datang di alam khayalannya. Kini dia sedang berdepan dengan wanita timur itu. Angkuh dan sombong.
"Maafkan saya auntie. Shahir bagitau ayah saya sakit, jadi saya datang nak tengok ayah saya!"
"What?" Tengku Mahanum terpekik. Dia lantas berdiri. Matanya bulat merenung wajah Adira. Adira gementar.
"Shahir bagitau Syed Suhaimi sakit?"
Adira mengangguk.
"Hei, korang berdua ni, dalam senyap-senyap buat hubungan sulit ya?" sindir Tengku Mahanum.
Adira semakin menggeletar. Dia tidak bersedia untuk ditengking dan dimarah begitu. Lebih-lebih lagi, inilah kali pertama dia datang ke rumah itu. Pertama kali ingin bertemu ayahnya. Mungkinkah kehadirannya memang tidak diterima? Hanya kerana dia anak kepada isteri kedua ayahnya?
~BERSAMBUNG~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment