Tengku Habibah memberhentikan kereta betul-betul di depan pintu masuk Hospital Selayang. Mercedes hitam berkilat menarik perhatian orang yang lalu lalang di situ. Semenjak pemandu keluarganya bersara, Tengku Habibah tidak berhasrat mencari yang lain. Dia mahu melakukannya sendiri. Tengku Habibah melangkah pantas menuju ke lif. Ucapan selamat pagi yang dituturkan oleh para petugas kaunter pertanyaan, tidak dijawabnya. Sambil menunggu pintu lif terbuka, dia membetul-betulkan rambut kemerahannya. Bibir mengetap geram kerana agak lambat pintu lif terbuka. Hendak menaiki tangga ke tingkat 2, pasti sukar kerana pagi itu dia menyarung kasut tumit tinggi berwarna biru.
"Hmm...apa punya lif," rungut Tengku Habibah sambil mencapai tisu dari dalam beg tangan. Peluh yang memercik di dahi dikesat berkali-kali. Hanya beberapa ketika selepas itu lif terbuka. Beberapa orang petugas keluar dari lif sambil menolak pakaian kotor para pesakit. Tengku Habibah menekup hidung.
Kakinya melangkah terus ke perut lif. Beberapa saat kemudian lif berhenti di tingkat 2. Tengku Habibah meluru pantas ke lorong sebelah kiri yang membawanya ke bilik VIP di mana Syed Suhaimi ditempatkan. Dia terus menolak pintu tanpa mengetuknya terlebih dahulu.
Syed Suhaimi meletakkan akhbar yang sedang ditatapnya sebaik sahaja pintu biliknya dibuka. Dia tersenyum melihat wajah isterinya.
"Cantik harini," puji Syed Suhaimi sebaik sahaja melihat rambut kemerahan isterinya didandan rapi. Batu-batu permata yang menghiasi lengan dan bahagian leher baju kurung Tengku Habibah menampilkan gaya mewah wanita itu.
"Nak pergi function ke?" soal Syed Suhaimi.
Tengku Habibah meletakkan beg tangan di laci sisi katil Syed Suhaimi.
"Function apa...meeting dengan board, tak habis-habis masalah shipping tu," ujar Tengku Habibah sambil merungut.
Syed Suhaimi menarik nafas panjang. Dia juga tergugah dengan masalah yang sedang melanda syarikatnya.
"Dari dulu Bibah dah cakap. Kan elok kalau abang ambil alih syarikat perkapalan tu. Tak payah kita bayar tinggi pada dorang tu," gumam Tengku Habibah. Syed Suhaimi merenung wajah isterinya.
"Mana boleh buat macam tu, bukan kita sorang jer pemegang saham syarikat tu. Yang lain-lain tak mau lepaskan pegangan dorang, macam mana kita nak ambil alih?" beritahu Syed Suhaimi.
Tengku Habibah mendengus. Syed Suhaimi cuba meluruskan kakinya.
"Bila abang boleh keluar?" soal isterinya lagi. "Bibah penat uruskan semua tu." Tengku Habibah seperti mengadu.
"Kalau abang sihat, mesti doktor dah benarkan abang keluar," ujar Syed Suhaimi cuba meluruskan kedua-dua belah kakinya serentak. Tetapi kesakitan di dada dan perut terasa menyucuk. Syed Suhaimi memejamkan mata.
"Bibah ingat nak suruh Daus bantu."
Syed Suhaimi mengangkat keningnya. Tengku Habibah perasan perubahan wajah suaminya. Dan dia maklum kalau Syed Suhaimi akan membantah cadangannya.
"Ema kan ada?"
"Ema? Abang bukan tak tau. Ema tu banyak sangat projek dia nak kendalikan." Tengku Habibah menjeling. "Dan abang pulak, kalau dengar nama Daus jer, terus alergik. Bibah taulah dia tu anak tiri abang." Tengku Habibah seperti merajuk.
"Bibah, abang tak pernah bezakan anak tiri dengan anak kandung tau! Daus pon dah sibuk dengan urusannya, kalau kita tambah beban dia, macam mana dia nak majukan syarikatnya?"
"Alah, syarikatnya bukan besar sangat! Dia mampu untuk bantu kita." Tengku Habibah tidak mahu mengalah.
"Sehari dua ni, kalau abang sihat doktor akan benarkan abang keluar. Nanti kita bincangkan lagi perkara ni," ujar Syed Suhaimi sambil memberi isyarat supaya Tengku Habibah duduk di sisinya.
Tengku Habibah melangkah malas ke katil suaminya. Syed Suhaimi memegang tangan isterinya. Tengku Habibah berasa kurang selesa.
"Hai, romantik nampak," perli Tengku Habibah.
"Takleh ker abang romantik dengan Bibah?"
"Boleh! Tapi taklah atas katil macam ni," ujar Tengku Habibah menarik lembut tangannya. Sorot mata suaminya yang semakin cengkung menikam ke dalam matanya. Tengku Habibah risau melihat keadaan suaminya.
"Abang rindukan Bibah!" ujar Syed Suhaimi, cuba menarik tangan Tengku Habibah dan melekapkan ke dadanya.
"Ha, kalau rindu, rajin-rajin makan ubat. Cepat sembuh pastu boleh balik rumah," ujar Tengku Habibah menjeling manja ke arah suaminya.
Syed Suhaimi hanya tersenyum. Memang dia rindu untuk pulang ke rumah. Walaupun rumah itu bukanlah sepenuhnya tempat dia menghabiskan masa tetapi ia adalah lebih baik daripada berada di hospital sepanjang hari.
"Apa doktor kata?"
"Biasalah. Jangan bimbang...jangan bimbang...so, abang tak bimbanglah!" ujar Syed Suhaimi tersenyum.
"Bibah nak abang balik cepat," ujar Tengku Habibah pula.
"Abang lagi nak balik cepat!" ujar Syed Suhaimi.
Tiba-tiba Tengku Habibah melentokkan kepalanya ke dada Syed Suhaimi. Dia juga rindukan belaian manja suaminya. Hampir 2 bulan Syed Suhaimi berada di hospital. Dan 2 bulan itulah, Tengku Habibah melalui malam dengan penuh kesepian. Sesekali tidur di wad bersama suami, dia hanya boleh pegang tangan dan melentokkan kepalanya di sisi katil.
Tengku Habibah akan terjaga apabila Syed Suhaimi meraba keningnya dan bersimpati kerana dia terpaksa tidur begitu sepanjang malam.
Tiba-tiba pintu bilik VIP ditolak. Kedua-duanya tersentak.
"Ku Wi, nasib baik abang dah buat by-pass tau, kalau tak, tak taulah apa nak jadi," ujar Syed Suhaimi, tersenyum memandang adik iparnya.
Tengku Zawawi bersalaman dengan Tengku Habibah dan mencium tangan kakak iparnya. Tengku Habibah beralih tempat duduk. Dia duduk di sofa, bersandar memerhatikan suami dan adik iparnya saling bergurau.
"Tak sangka, Abang Syed masih romantik macam dulu," gurau Tengku Zawawi sambil bersalam erat dengan birasnya.
"Macam mana tak romantik, kakak you tu yang ajar abang jadi romantik. I'm not too old anyway!" ujar Syed Suhaimi sambil ketawa dan meraba wajahnya yang kelihatan pucat. Namun ketawanya tidak panjang. Dia berasa kesakitan menyucuk dadanya.
"Take it easy Abang Syed, luka tu belum sembuh lagi," ujar Tengku Zawawi sambil mengusap dada birasnya.
Tengku Habibah bingkas bangun apabila melihat batuk suaminya semakin menjadi-jadi. Dia mencapai corong oksigen, hendak menekupkan ke hidung suaminya. Syed Suhaimi menepis lembut.
"Takpe, abang okey," ujar Syed Suhaimi turut menepis lembut tangan Tengku Zawawi yang cuba mengusap dadanya. Tengku Habibah menghulurkan segelas air sejuk.
"Abang Syed perlu rehat Ku Wi," ujar Tengku Habibah membantu suaminya duduk.
"Takpe, it's okay. Asyik tidur duduk saja pon bosan jugak," ujar Syed Suhaimi cuba bersandar pada bantalnya. Tengku Zawawi cepat membantu. "Bagitau macam mana dengan bisnes kita," ujar Syed Suhaimi apabila batuk dan kesakitannya reda.
Tengku Zawawi memaksa senyuman untuk Syed Suhaimi. Kalau tadi, dia seperti hendak memberitahu Syed Suhaimi kehadiran Adira di rumahnya, tetapi hasratnya tersekat sebaik sahaja terpandang Tengku Habibah. Selebihnya, keadaan Syed Suhaimi sendiri yang begitu uzur, Tengku Zawawi terpaksa merahsiakan kehadiran gadis berambut perang itu. Tengku Zawawi teragak-agak untuk bersuara. Apa yang harus diberitahu tentang perniagaan keluarga mereka? Segalanya berjalan lancar. Tengku Habibah tidak kurang tangkasnya mengendalikan perniagaan perkapalan mereka. Tengku Firdaus, anak tiri Syed Suhaimi juga tidak kurang handal berurus niaga dengan pelanggan. Sharifah Erma? Kadang-kadang Tengku Zawawi sendiri akur dengan kebijaksanaan anak saudaranya itu mengendalikan pelbagai pelaburan mereka di luar negara. Malah dalam banyak hal, Sharifah Erma mengatasi abangnya sehingga keduanya sering bertingkah dan adakalanya tidak bertegur sapa kerana pertengkaran urus niaga.
"Kenapa Ku Wi, ada masalah ker?" soal Syed Suhaimi melihat birasnya membisu.
"Takde apa-apa, semua okey." Tengku Zawawi menjawab gugup. "Cuma, saya suka kalau Abang Syed dapat balik cepat ke pejabat. Sunyi kalau Abang Syed takde," ujar Tengku Zawawi melindungi perasaannya.
"Shahir, kan dah tolong Ema dalam AZ-L Corporation?"
"Shahir tu tak tau apa-apa bang. Habis belajar bukan nak terus balik Malaysia, enjoy dulu kat Eropah. Kalau dia balik awal, lebih awal saya dapat latih dia."
"Itupun dah bagus Ku Wi. Shahir nak jugak sertai kita. Abang nampak dia memang berbakat besar, macam you jugak," pujuk Syed Suhaimi.
"Soal bakat-bakat ni, semuanya menurun dari ibu saudaranya ni," ujar Tengku Habibah, tidak mahu mengalah.
"Dengan Kak Engku, memang saya angkat tangan. Abang Syed pon angkat tangan jugak kan?" ujar Tengku Zawawi sambil mengenyit mata ke arah Syed Suhaimi. Dalam banyak hal, Tengku Habibah memang susah hendak mengalah. Dan Tengku Zawawi sendiri mengakui kakak iparnya memang berhak berasa begitu. Kerana sebahagian besar perniagaannya bersandar kepada kepakaran kakaknya membina hubungan dengan syarikat-syarikat gergasi di dalam dan luar negara. Dia cekal, berani dan akan lakukan apa sahaja untuk capai impiannya. Tetapi cekalkah dia untuk mengetahui bahawa ada wanita lain di hati suaminya?
"Korang berdua ni, sajelah nak membodek. Ni jenis tak makan bodek tau," ujar Tengku Habibah menjeling. Tengku Zawawi dan Syed Suhaimi ketawa. Tengku Habibah turut tersenyum.
"Ku Wi, Kak Engku rasa nak lepaskan syarikat. Ku Wi boleh tolong ambil alih kan?" Tengku Habibah mengharap. Tengku Zawawi terkejut.
"ZM Holdings pon saya tak larat Kak Engku. Kalau AZ-L Corporation saya kendalikan, matilah saya."
"Jangan macam tu bukan apa tolong monitor jer. Ku Wi jadi pengerusi sementara. Gantikan Abang Syed. Kak Engku dah tak larat. Lagipun Kak Engku nak temankan Abang Syed kat sini," ujar Tengku Habibah mengharap bantuan Tengku Zawawi. Lelaki berusia 50 tahun itu tersenyum.
"Kak Engku serius ker?"
"Kak Engku tak pernah main-main dalam soal bisnes. Kita buat sama-sama. Lagipun Ku Wi ada saham dalam AZ-L Corporation, Abang Syed pon ada saham dalam ZM Holdings, kita buat sama-sama."
"Maksud Kak Engku kita bergabung?"
"Abang ingat pon macam tu Ku Wi. Kalau bank-bank kat Malaysia ni banyak yang dah bergabung, apa salahnya kita gabungkan syarikat kita? Lagipun syarikat kita syarikat keluarga, tak jadi masalah, kan?" ujar Syed Suhaimi pula.
"Saya tak kisah Abang Syed. Tapi Daus dengan Ema macam mana?"
"Kak Engku boleh bagitau Ema dengan Daus. Dorang takkan tolak."
"Kalau Daus setuju, gabungkan jugak syarikat Daus di bawah AZ-L Corporation atau ZM Holdings," cadang Syed Suhaimi.
Tengku Zawawi mengangguk. Tetapi wajah Tengku Habibah berubah. Mungkin tidak semudah itu Tengku Firdaus setuju dengan cadangan suaminya.
~BERSAMBUNG~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment