"Maafkan mama, Adira, maafkan mama." Tengku Shahir terus memujuk Adira. Adira masih mendiamkan diri.
Wajah gadis yang mendung itu bagaikan memberitahu segala-galanya. Tengku Shahir turut berasa malu atas sikap Tengku Mahanum kepada Adira. Walaupun bukan kesalahan gadis kecil molek itu terlantar di sini tetapi Tengku Mahanum seperti hendak menyakitkan hatinya.
Adira masih merenung kolam beriak kecil di hadapannya. Bebayang tubir membina garis sepadan antara kolam dan airnya. Adira seperti tidak mendengar pujukan Tengku Shahir. Memang hatinya terluka. Rupa-rupanya apa yang dibayangkan Cheryl, kini menjadi kenyataan. Dia tidak akan diterima di sini. Hanya kerana dia anak kepada seorang wanita Inggeris yang dituduh perampas kebahagiaan isteri pertama.
"Adira tau, hati mama Shahir tak boleh terima hakikat kakaknya dimadukan. Dan dia jugak tak boleh terima saya, anak kepada madunya." Adira ketawa kecil. "Shahir, sebelum datang ke sini, perkara nilah yang selalu saya bayangkan akan terjadi. Bila saya menghadapinya, saya dah tak rasa apa-apa. Shahir jangan bimbangkan saya. Cuma, saya tak mahu terus melukai hati Auntie Mahanum."
"Lukakan hati mama?"
"Ya. Auntie Mahanum akan terluka setiap kali menatap wajah saya. Saya, kan anak tiri kakaknya. Tentu dia jugak tak boleh terima saya."
"Tapi Adira tak bersalah. Mama tak boleh letakkan kesalahan di bahu Adira. Ini kesilapan Ayah Syed."
"Kesilapan? Ayah saya berkahwin dengan mama merupakan satu kesilapan?"
"Maafkan saya. Maksud saya, ayah Adira tak berterus-terang. Tak bertanggungjawab sepenuhnya ke atas Adira dan telah melupakan Adira begitu jer. Itu kesilapan yang dilakukannya," ujar Tengku Shahir.
Adira membuang pandangan ke tempat lain. Tengku Shahir terus merenung wajah putih gadis itu dalam kesamaran malam di kolam renang. Hati lelakinya sedikit terusik apabila melihat wajah lembut Adira yang begitu mendamaikannya.
Di bilik Tengku Mahanum suasana bungkam masih mengisi ruangnya. Tengku Zawawi baring menelentang, meletakkan tangan ke dahi seperti memikirkan sesuatu. Tengku Mahanum terus diam, selepas dimarahi suaminya. Tiba-tiba Tengku Zawawi bingkas bangun. Tengku Mahanum terkejut.
"Kalau Ema tau rahsia ni, keadaan akan menjadi semakin teruk," ujar Tengku Zawawi setelah membisu sekian lama. Tengku Zawawi menyarungkan pijamanya dan membaluti seluruh tubuhnya.
"Ni baru permulaan. Gunung berapi bakal meletup tak lama lagi," ujar Tengku Mahanum menyapukan night cream ke mukanya. Tengku Zawawi bergegas hendak keluar.
"Abang nak ke mana?"
"Nak jumpa Shahir dengan Adira," ujar Tengku Zawawi.
"Untuk apa?"
"Abang nak mintak Adira tinggalkan Malaysia pagi-pagi besok!"
"Habis, Abang Syed macam mana?"
"Abang belum bagitau dia. Kak Engku ada masa tu, abang masih rahsiakan semuanya."
"Kalau Adira tak mau?"
"Nilah masalahnya. Abang tengok, budak tu pon degil, macam ayahnya jugak. Tapi abang tak tau macam mana cara nak tunaikan permintaan dia. Kak Engku ada hampir 24 jam dengan Abang Syed. Kalau Kak Engku balik pon, Ema atau Daus mesti ada. Apa abang nak cakap kalau dorang tanya? Ema mesti hairan, takkan Shahir nak bawak kawannya melawat bapa saudaranya? Kak Engku mesti tanya apa hubungan Adira dengan anak kita? Apa abang nak jawab nanti?"
Tengku Zawawi tidak jadi keluar. Tengku Mahanum menutup semula botol night cream dan bingkas bangun. Tangan suaminya ditarik hingga ke katil.
"Abang jugak yang cakap walaupun abang marah, abang tak sampai hati nak halau Adira dari rumah ni. Dia dah datang. Dia darah daging keluarga kita. Takkan abang nak halau dia, kan?"
"Habis apa abang nak buat?"
"Anum ada cadangan bang. Apa kata kita pakat dengan doktor, pindahkan Abang Syed ke bilik lain dan di situ Adira boleh jumpa ayahnya. Dah jumpa, kita suruh dia balik. Habis cerita!" cadang Tengku Mahanum.
"Habis, apa alasan doktor kalau Kak Engku tanya. Pindah bilik lain hanya untuk beberapa jam? Tak logik dan tak boleh diterima akal."
Tengku Mahanum mendengus. Tengku Zawawi bergegas meninggalkan isterinya.
***********************************************************************************
Tengku Shahir menarik tombol pintu bilik Adira sebaik sahaja gadis itu menyelinap masuk. Dia terkejut apabila menoleh ke belakang, Tengku Zawawi sudah pun berdiri merenungnya.
"Ayah! Shahir hantar Adira ke bilik. Kami dari beranda tadi yah," kelam-kabut Tengku Shahir memberi penjelasan.
"Ayah nampak. Ayah tau, anak ayah, anak yang baik," ujar Tengku Zawawi sambil tersenyum.
"Terima kasih yah!" ucap anak muda itu.
"Ayah nak jumpa Adira...personally," ujar Tengku Zawawi.
"Go on, sir!" ujar Tengku Shahir dan terus beredar.
Tengku Zawawi memerhatikan Tengku Shahir hingga ke pintu biliknya. Kemudian Tengku Zawawi mengetuk pintu bilik Adira perlahan-lahan. Hanya beberapa ketika kemudian ia terbuka dan Adira terkejut melihat lelaki itu di depannya.
"Maafkan uncle, mengganggu Adira," ujar Tengku Zawawi lembut. Adira berasa serba salah. "Adira dah nak tidur ker?" soal Tengku Zawawi.
Adira menggeleng.
"Uncle nak cakap sikit dengan Adira," ujar Tengku Zawawi dan melangkah perlahan ke sofa yang menghadap pintu sisipan ke halaman belakang. Adira keluar dan mengekori langkah Tengku Zawawi. Tengku Zawawi mempersilakannya duduk di sofa empuk berwarna biru.
"Uncle faham perasaan Adira tadi. Uncle mintak maaf," ujar Tengku Zawawi. Dia turut duduk. Kakinya diluruskan sebelum menyingsing sedikit seluar pijamanya.
Adira tunduk. Hatinya memang terguris. Mengapa haknya sebagai salah seorang ahli keluarga mereka dinafikan? Mengapa dia tidak boleh diterima dalam keluarga itu?
"Pada dasarnya, kita memang takde apa-apa hubungan Adira!" Tengku Zawawi berterus-terang.
Adira tersentak.
"Jangan salah faham Adira." Tengku Zawawi cuba memujuk.
"Adira dengan uncle memang takde apa-apa pertalian. Tapi Adira dengan Auntie Mahanum, ada pertalian darah. Begitu juga dengan Shahir," beritahu Tengku Zawawi.
Adira merenung wajah Tengku Zawawi dalam warna kuning samar lampu candeliar. Adira menarik nafas panjang. Kedudukannya memang jelas. Dia bukan orang lain dengan Tengku Zawawi. Tetapi dia ada pertalian darah dengan Tengku Mahanum dan Tengku Shahir.
"Terima kasih uncle," ucap Adira perlahan.
"Uncle bukan sengaja nak mengguris hati Adira. Tapi uncle tak mau keluarga Auntie Mahanum, maksud uncle kakaknya tau sape Adira. Belum masanya," ujar Tengku Zawawi.
Adira mengangguk perlahan. Dia mulai faham mengapa keluarga ini bersandiwara. Dan dia berterima kasih kepada Tengku Zawawi kerana sudi menganggapnya sebagai anak saudara walaupun mereka tiada ikatan.
"Tapi Adira, permintaan Adira untuk bertemu dengan ayah Adira, uncle belum boleh tunaikan," ujar Tengku Zawawi lagi.
Hati Adira direntap sayu. Dia ingin sangat menatap wajah lelaki yang bergelar ayahnya. Setelah 20 tahun berpisah, dia memang tidak dapat menggambarkan bagaimana rupa paras ayahnya, Syed Suhaimi. Tidak ada satu gambar pun yang mahu disimpan oleh mamanya. Cheryl memang mahu membunuh lelaki itu dari hati dan mindanya.
"Uncle bimbang, ayah Adira belum boleh menerima kehadiran Adira sekarang."
Hati Adira bagaikan ditusuk sembilu. Bagaimanakah seorang ayah tidak boleh menerima kehadiran seorang anak kandung?
"Kalau boleh saya nak tengok ayah, dari jauh pon takpe. Hati saya puas," Adira merayu.
"Dalam waktu terdekat ni mungkin tak boleh. Ayah Adira masih dalam rawatan rapi. Mungkin seminggu dua lagi," ujar Tengku Zawawi.
"Tapi mama mintak saya balik cepat uncle. Mama kata, tak elok saya lama-lama di sini."
Tengku Zawawi menatap wajah Adira dengan simpati. Kasihan anak ini. Dari jauh dia datang. Mestikah hasratnya dihalang?
"Uncle akan cuba Adira. Sementara tu, kalau sape-sape bertanya, katakan yang Adira kawan Shahir sewaktu di US dulu," ujar Tengku Zawawi dan berlalu meninggalkan Adira keseorangan.
Sekali lagi gurisan di hati Adira menjadi lebar. Kesedihannya kian bercambah. Dia ingin menangis. Tetapi dia sudah berjanji kepada dirinya, dia akan menghadapi apa sahaja yang akan berlaku apabila dia berada di Malaysia. Tanpa duka dan air mata. Dia termangu sendirian di sofa itu. Adira bagaikan pesalah yang baru menerima hukuman. Segalanya semakin samar dan tidak mengandungi harapan. Kalau dia tidak dipertemukan dengan ayahnya, apa gunanya dia menunggu lama di rumah ini? Adira merenung jauh ke depan. Pandangannya kosong dan berbinar. Sehinggalah teguran lembut Tengku Shahir menyentak lamunannya, memanggilnya beberapa kali.
"Adira, Adira are you okay?"
Adira tersentak apabila suara Tengku Shahir hampir ke cuping telinganya. Pipinya hampir menyentuh hidung mancung Tengku Shahir ketika dia menoleh kerana agak terkejut. Jantungnya bergedup sangat kencang melihat wajah Tengku Shahir sangat hampir ke wajahnya. Apatah lagi dia terkaku mendengar suara lembut Tengku Shahir yang bisa mencairkan hati wanitanya.
"Shahir, saya nak balik ke London," Adira bingkas berdiri. Wajahnya kemerah-merahan.
"Tapi kenapa? Adira belum jumpa Ayah Syed lagi!"
Adira menggeleng.
"Tak mungkin Shahir, bukan mudah, kan?" soal Adira pula.
"Adira kena bersabar. Ayah takkan biarkan Adira menunggu."
"Soalnya, saya tak diterima oleh keluarga Shahir. Saya bersendirian di sini."
"Saya ada, Adira. Adira bukan orang lain, saudara saya jugak. Saya akan bantu Adira mana yang terdaya." ucap Tengku Shahir bersungguh-sungguh.
Senyuman nipis Adira terukir di bibir. Entah kenapa selepas mendengar niat ikhlas Tengku Shahir terhadapnya, di hatinya lahir satu perasaan yang sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Tetapi yang pasti, dia berasa bahagia dan gembira setiap kali berada di samping pemuda itu. Sejalur harapan merentang di hadapannya. Tetapi mestikah dia bergantung kepada harapan yang sedikit itu? Adira kembali menggelengkan kepalanya.
"Saya tak mau menyusahkan Shahir!" Adira melangkah perlahan ke bilik. Tengku Shahir hanya memerhatikannya. Dia tidak berdaya menghalang. Tetapi dia akan kecewa kalau Adira pulang sebelum berjumpa ayahnya.
***********************************************************************************
Sharifah Erma menghempaskan tubuhnya ke katil sebaik sahaja masuk ke bilik. Dia merenung siling yang berukir bunga-bungaan. Hatinya terus didera bimbang. Wajah Adira dan Tengku Shahir saling berganti. Apakah hubungan kedua-duanya? Adakah Tengku Shahir dan Adira saling menyintai? Tak mungkin sekadar kawan biasa. Mungkin lebih dari itu. Sharifah Erma menjadi tidak tentu arah. Kalau itulah yang berlaku, bermakna hatinya akan kecewa. Tengku Shahir sudah lama merajai hatinya. Sepupunya itu semakin dekat di hatinya sejak akhir-akhir ini. Namun setelah Tengku Shahir menyertai AZ-L Corporation beberapa bulan yang lalu, dia mula sibuk dan jarang mereka dapat bersama. Sharifah Erma berasa dirinya tidak diperlukan.
ZM Holdings banyak berhubung dengan AZ-L Corporation dalam beberapa projek kejuruteraan dan jurutera muda itu bagaikan air dingin menyimbah hatinya yang kegersangan.
"Ema, kalau saya nak cari isteri, tak mau cari macam Ema ni." Tengku Shahir pernah bergurau dengannya ketika Sharifah Erma menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk kembali ke US.
"Kenapa? I garang sangat ker?" Sharifah Erma menjegilkan mata.
"Tak! Cuma saya tak mau kalah dengan seorang wanita!" ujar Tengku Shahir sambil ketawa.
Sharifah Erma cepat terpikat dengan barisan giginya yang putih tersusun dan senyuman manisnya yang diwarisi dari Tengku Mahanum. Cintanya kepada Tengku Shahir semakin menggunung.
"Okey, I nak pastikan kalau you tak kahwin dengan I pon, sekurang-kurangnya you kahwin dengan wanita yang lebih garang dari I." Sharifah Erma mencabar.
Tengku Shahir ketawa lagi. Sharifah Erma menekan minyak dan Tengku Shahir terpaksa memegang tangan Sharifah Erma, merayu supaya larian kereta BMW itu diperlahankan.
"Kenapa? You takut?" soal Sharifah Erma menduga. Dia bagaikan terkena kejutan elektrik apabila Tengku Shahir tiba-tiba memegang tangannya. Hatinya menguntum senyum.
"Saya tak mau mati muda. Saya belum puas hidup!" ujar Tengku Shahir. Mereka berdua sama-sama ketawa.
Sharifah Erma menarik nafas panjang. Ah Shahir, mungkinkah aku memang tidak dapat memilikimu? Sharifah Erma memejamkan mata sekali lagi. Bayangan wajah Adira pula menerpa. Gadis itu kelihatan sedang bersedih. Tidak banyak bercakap dan seperti seorang penyerah. Gadis begitukah yang diinginkan oleh Tengku Shahir?
Tetapi wajah Adira manis dan penuh dengan kelembutan, bisik hatinya. Mana-mana lelaki yang menatap wajahnya, pasti akan jatuh hati dengan kecantikannya. Bermakna Tengku Shahir? Sharifah Erma tidak dapat meneruskan kata-katanya. Kalau benar, maka Tengku Shahir pasti sudah menemui idaman hatinya. Dan aku? Bertahun-tahun menanti, patutkah hanya kekecewaan yang aku temui? Sharifah Erma menahan air matanya dari menyerbu keluar. Dia tidak mahu menangis. Belum pasti Tengku Shahir dan Adira bercinta. Lagipun tak semudah itu keluarga Tengku Zawawi menyetujui pilihan anaknya. Tengku Zawawi pasti mengutamakan keluarga sendiri. Bagaimana mungkin dia menerima Adira, gadis Inggeris yang tidak pasti asal usulnya itu?
Sharifah Erma memujuk hati. Semangatnya kembali pulih. Berkali-kali hatinya memujuk bahawa Adira dan Tengku Shahir hanya kawan biasa.
~BERSAMBUNG~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment