Di bilik tidur tetamu, Adira melemparkan pandangan ke luar tingkap. Dari situ, dia lihat sebuah kolam renang yang terbentang luas. Permukaannya beralun kecil membentuk garisan yang berlari ke tebing setiap kali angin datang menampar. Angin petang terasa menyegarkan.
Berada di rumah yang asing ini, semuanya seakan sunyi dan membosankan. Tengku Mahanum baru sahaja keluar. Tengku Zawawi pula, bergegas ke pejabat selepas sarapan pagi, begitu juga dengan Tengku Shahir yang berjanji akan pulang makan tengah hari. Tetapi sehingga menjelang petang, wajah anak muda itu tidak langsung kelihatan. Hanya orang gaji yang datang mengetuk pintu biliknya dan mengajak dia makan. Adira terpaksa menurut. Mungkin itu antara syarat yang tidak boleh dibantah dan mesti diikuti kalau dia mahu bertemu dengan ayahnya.
3 orang gaji di rumah itu juga tidak banyak bercakap. Mereka hanya bercakap jika ada hal mustahak atau bertanya Adira jika dia memerlukan sesuatu. Selebihnya, Adira dibiarkan tidur atau berjalan-jalan di tepi kolam renang untuk menghilangkan lenguh badan. Alangkah bosannya dia berada di rumah besar itu. Dengan reaksi penghuninya yang tidak menyukainya kecuali Tengku Shahir, Adira begitu terasa sendirian.
Kalau dia dengar kata-kata mamanya, mungkin dia tidak akan berasa bosan begitu. Mungkin saat ini, dia sedang berada di sisi mamanya, memerhati air sungai yang berbalam dari banglo putih di atas bukit miliknya. Atau menyemak e-mel dari kawan-kawan sekampus. Atau menyusuri Kota London tempat mamanya selalu berbelanja.
"Adira percaya apa yang ditulis dalam telegram tu?" Soalan mamanya masih kuat dalam ingatan.
"Shahir tak mungkin main-main dalam soal ni ma. Syed Suhaimi sakit. Mungkin dia nak jumpa kita!" ujar Adira.
Mata Adira sedang memerhatikan dedaun kering terbang ditiup angin dan jatuh di atas rumput di halaman rumah. Kertas putih keunguan masih erat dalam genggaman. Angin kecil menggerak-gerakkan rambut perangnya yang ikal menutupi telinga. Mata birunya yang redup seperti tidak berkelip memerhatikan sehelai demi sehelai daun yang melayang, berkumpul bersama dedaun lain yang sudah menunggu. Angin terasa kering menampar wajahnya.
"Kalau Adira nak pergi jugak, mama tak larang tapi Adira fikirkan habis-habis perkara ni," ujar mamanya sambil duduk di samping Adira.
Adira menutup novel HARRY POTTER yang baru separuh dibacanya. Dia cuba mengukir senyuman.
"Bahagia kan mama, bertemu dengan orang yang kita rindui?" soalnya.
Tangan Cheryl segera mengusap pipi Adira. Matanya yang bundar kecoklatan merenung tepat ke wajah satu-satunya cahaya mata yang dia ada.
"Kalau Adira balik ke Malaysia, bermakna Adira akan mencipta satu sejarah di sana," ujar Cheryl perlahan.
Adira memejamkan mata. Dia faham maksud mamanya. Tetapi wajah Cheryl segera berubah. Kalau Adira pulang ke Malaysia, adakah anak gadisnya itu nanti akan pulang semula ke sisinya?
"Kita pergi sama-sama, mama!" Tiba-tiba suara Adira yang lembut menembusi pendengarannya. Cheryl hanya melemparkan senyuman sinis mendengar cadangan anaknya itu.
"Mama dengan ayah takde apa-apa hubungan. Adira pergilah dulu, nanti mama ikut kemudian." Suara Cheryl perlahan dan mendatar. Dia tidak lagi mengusap pipi gebu anaknya. Sebaliknya meramas dedaun kering, menjadi kepingan yang semakin mengecil. Adira perasan yang mamanya seperti sedang melepaskan geram. Daun itu tidak berdosa. Mengapa ia harus menjadi mangsa.
"Mama masih marahkan Adira?"
Soalan Adira bagaikan ledakan gunung berapi yang sedang memuntahkan laharnya. Cheryl tersenyum tetapi agak kaku. Dia mahu menyembunyikan kemarahan yang dipendamnya hampir 20 tahun itu.
"Mama, ayah rindukan kita. Jomlah kita pergi ke Malaysia mama, ayah sedang menunggu kita," pujuk Adira. Surat yang digenggam dilepaskan perlahan-lahan. Mata Cheryl bulat menatap kertas yang hampir kumal. Sudah berkali-kali Adira membacanya.
Cheryl memerhatikan surat itu. Dia seperti tidak percaya apabila menerima berita Syed Suhaimi sakit. Cheryl meragui telegram itu. Selepas apa yang dialaminya, seluruh kepercayaannya kepada Syed Suhaimi bagaikan tiada. Seluruh rasa cinta dan sayangnya telah berkubur. Syed Suhaimi yang dikahwininya 20 tahun lalu, mengaku masih bujang ketika lelaki itu meluahkan rasa cinta kepadanya. Waktu itu, di kampus, mereka bagaikan merpati dua sejoli yang tidak boleh terbang tanpa salah seorang daripada mereka. Cheryl paling bahagia apabila Syed Suhaimi melamarnya. Syed Suhaimi mengaku mencintainya. Tetapi mengapa Syed Suhaimi seperti mahu mengongkongnya?
Pembohong!
Hati Cheryl menjerit. Tetapi tidak sempat diucapkan lidahnya. Dia tidak mahu melabel ayah kepada anak gadisnya itu sebagai seorang pembohong. Pasti Adira akan terluka apabila ayahnya dituduh begitu. Dan pembohongan Syed Suhaimi terbongkar sebaik sahaja Adira lahir setahun kemudian.
Syed Suhaimi sudah berkahwin dan ada anak! Cheryl berasa tertipu. Dia berasa dipermainkan. Akhirnya Cheryl hilang seluruh kepercayaan kepada Syed Suhaimi. Dia terpaksa pilih jalan hidupnya sendiri.
Daun itu diramasnya berkali-kali. Adira tahu kalau mamanya sedang marah. Adira menangkap tangan mamanya ketika wanita Inggeris itu mahu meramas daun seterusnya.
"Jom kita masuk mama!" pujuk Adira lembut.
Cheryl bingkas bangun. Langkahnya pantas menuju ke dalam rumah. Adira termangu melihat reaksi mamanya. Selepas 20 tahun, rupa-rupanya kemarahan mamanya kepada ayahnya tidak pernah padam. Mungkin makin membara dan membakar. Adira tidak berhasrat mengikut Cheryl masuk ke rumah. Mungkin mamanya mahu dibiarkan sendirian untuk melayani marah dan geram. Dia tidak mahu kemarahan itu bercampur dendam. Dan dendam itu nanti pasti menghancurkan jiwanya.
Adira menarik nafas panjang. Tirai petang semakin jatuh di kaki langit. Mengapa Tengku Shahir masih belum pulang?
~BERSAMBUNG~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment