Keesokan harinya, air mata Sharifah Erma tumpah sebaik sahaja melihat wajah Syed Suhaimi pucat. Tiba-tiba kesedihannya merajai hati. Sharifah Erma tidak tahu mengapa dia menangis. Semenjak Syed Suhaimi masuk hospital, baru kali ini dia menangis. Sharifah Erma melangkah perlahan ke sisi katil ayahnya. Sambil mengesat air mata, Sharifah Erma menarik kerusi dan menunggu ayahnya terjaga.
"Ayah, Ema datang yah!" bisik Sharifah Erma perlahan. Namun Syed Suhaimi begitu lena. Sharifah Erma tidak mahu mengganggu. Dia hanya memerhatikan nafas Syed Suhaimi turun naik. Wajah Syed Suhaimi nampak tenang dan damai. Sharifah Erma merenung wajah itu sambil menyeka air matanya yang masih tumpah. Hati Sharifah Erma sayu dan pilu. Mengapa aku ni? Soalnya sendiri. Di saat-saat begini, dia berasa begitu sunyi. Bilik hawa dingin itu semakin menghimpunkan kesedihan di dadanya. Esaknya bagaikan menjadi-jadi. Syed Suhaimi tersentak dan menoleh. Dia terkejut melihat Sharifah Erma menangis di sebelahnya.
"Ema, kenapa sayang?" soal Syed Suhaimi dan cuba bangun. Tetapi Sharifah Erma meminta ayahnya baring semula.
"Ema tak apa-apa, ayah!" ujar Sharifah Erma menyapu hidung. "Ema sedih tengok ayah macam ni," Sharifah Erma berdalih.
"Eh...kenapa ni? Ema tak pernah menangis sebelum ni," soal Syed Suhaimi kehairanan. Dia berasa semakin sihat dan bertenaga. Syed Suhaimi sudah boleh duduk sendiri tanpa dibantu.
"Ema, ayah tak pernah tengok Ema menangis hanya kerana ayah sakit. Ni mesti ada apa-apa?" soal Syed Suhaimi.
Sharifah Erma menggeleng. Tetapi renungan Syed Suhaimi bagaikan mendesak anaknya itu memberikan jawapan segera.
"Ayah!" Akhirnya tangisan Sharifah Erma meledak.
Syed Suhaimi mengusap rambut anaknya dengan penuh kasih sayang. Kehairanan semakin menghimpun. Pasti ada sesuatu yang tidak kena kepada puterinya itu.
"Kenapa Ema?"
"Ema kalah ayah!"
"Hmm...biasalah. Belum rezeki kita nak dapat tender tu, nak buat macam mana," pujuk Syed Suhaimi sambil mengukir senyuman. "Tapi, Ema tak pernah pulak menangis kalau kita kalah tender...kenapa?"
Sharifah Erma terkedu. Dia serba-salah untuk memberitahu ayahnya. Sedangkan sebelum ini dia sanggup berkongsi apa sahaja rahsia dengan ayahnya.
"Kita menang tender tu ayah," tutur Sharifah Erma lambat. Dia baru teringat, AZ-L Corporation baru sahaja memenangi tender membaik pulih Jambatan Pulau Pinang yang bernilai hampir RM 3 juta.
"Habis tu, kenapa menangis?"
"Ema kalah dengan perasaan Ema sendiri," ujar Sharifah Erma cuba berkias.
Syed Suhaimi tersenyum. Dia mula memahami maksud anak gadisnya.
"Ema jatuh cinta?" Syed Suhaimi meneka.
Sharifah Erma menggeleng.
"Habis tu?"
"Ema cintakan dia tapi dia dah ada orang lain."
"Bertepuk sebelah tangan?"
"Lebih kurang macam itulah."
"Sape orangnya Ema, ayah kenal?"
"Ayah kenal dan rapat sangat dengan keluarganya."
"Ema, cuba berterus-terang!"
"Ema seorang perempuan ayah!"
"Kalau ayah teka?"
"Sape?"
"Tengku Shahir?"
Sharifah Erma tersentak yang amat sangat. Dia kehilangan bicara untuk memberitahu bahawa tekaan ayahnya sangat tepat.
"Betul kan, Shahir?"
"Mana ayah tau?"
"Ema dengan Shahir membesar di depan mata ayah. Mata ayah tak pernah berbohong. Hati ayah tak pernah berdusta. Kamu berdua sangat rapat. Dan ayah sudah menduga, perkara ni pasti berlaku. Kalau tak kedua-duanya, salah sorang dari kamu pasti akan jatuh cinta," ujar Syed Suhaimi sambil mengusap lembut pipi anak gadisnya yang berumur 25 tahun itu dengan penuh kasih sayang.
Sharifah Erma membenamkan wajahnya ke pangkuan Syed Suhaimi. Dia berasa selamat dan dilindungi. Syed Suhaimi mengusap rambut Sharifah Erma berkali-kali. Syed Suhaimi merenung anaknya dengan perasaan sayang. Anak tempat dia bermanja dan mencurahkan kasih, kini sedang menangis dalam pangkuannya.
"Ema pasti gadis tu kekasih Shahir?" soal Syed Suhaimi.
Sharifah Erma mengangguk dalam tangisan.
"Mungkin kawan biasanya?" soal Syed Suhaimi lagi.
"Mak Engku dengan Ayah Engku layan dia dengan baik. Kemesraan Shahir bukan macam kemesraan seorang kawan biasa," luah Sharifah Erma sambil menyeka air matanya. "Tapi, Ema takkan mengalah ayah!" Sharifah Erma mempamerkan kedegilannya. Dia mengangkat kepalanya dengan wajah yang serius.
Syed Suhaimi agak terkejut. Tetapi dia maklum akan perangai anak gadisnya itu. Sharifah Erma tidak akan mudah menyerah walau dalam apa keadaan sekalipun. Dia pasti akan berusaha mendapat apa yang dia inginkan termasuk cintanya kepada Tengku Shahir. Syed Suhaimi tiba-tiba berdebar. Mungkinkah Sharifah Erma akan melakukan sesuatu kepada kekasih Shahir?
"Ema, elok kalau Ema pastikan dulu."
"Nak pastikan apa lagi ayah?"
"Maksud ayah, kalau betul dorang berdua memang bercinta."
"Ema takde harapan?" soal Sharifah Erma berterus-terang.
Syed Suhaimi pura-pura tersenyum.
"Ayah jangan bagitau mama. Ni rahsia kita berdua," perintah Sharifah Erma.
Syed Suhaimi hanya ketawa. Sharifah Erma menjeling. Kemudian duduk semula di sofa di hadapan katil Syed Suhaimi. Dalam banyak hal Syed Suhaimi amat mengagumi anak gadisnya itu. Tetapi dalam beberapa hal yang lain, dia jadi risau mengenangkan kerenah Sharifah Erma. Bagaimana kalau dia bertindak di luar jangkaan?
Pintu bilik diketuk perlahan. Dan beberapa saat kemudian wajah Tengku Zawawi muncul di sebalik pintu. Syed Suhaimi terkejut. Sharifah Erma agak menggelabah. Tengku Zawawi menghampiri Sharifah Erma dan duduk di sebelah anak saudaranya. Wajah Sharifah Erma yang muram dan serba salah direnungnya.
"Apahal pulak ni?" Tengku Zawawi mengusik, seperti biasa. "Bergaduh dengan orang bank ker?" tambah Tengku Zawawi lagi.
Sharifah Erma mengukir senyuman paksa. Syed Suhaimi merenung wajah anaknya dengan simpati.
"You bukan tak tau kalau Ema merajuk," ujar Syed Suhaimi sambil ketawa. Ketawanya juga dibuat-buat dan tampak tidak ikhlas. Sharifah Erma bingkas bangun. Dia mencapai beg tangannya.
"Ema nak ke mana?" soal Syed Suhaimi, hairan melihat sikap anaknya.
"Ema balik dulu ayah, mungkin mama nak datang sekejap lagi," jawab Sharifah Erma acuh tak acuh. Pipi Syed Suhaimi diciumnya. Tengku Zawawi tersenyum apabila tangannya turut dicium oleh anak saudaranya itu.
"Ema balik dulu Ayah Engku," tutur Sharifah Erma perlahan.
"Lain macam Ema harini. Abang Syed marah dia ker?" soal Tengku Zawawi sebaik sahaja Sharifah Erma menghilang.
"Engku tau kan, abang tak pernah marah Ema seumur hidup abang!"
"Habis tu?"
"Biasalah...budak-budak muda."
"Frust?"
"Katanya!"
"Wah! Dalam diam-diam Ema dah ada kekasih. Saya tak pernah tau sebelum ni. Shahir tentu terkejut kalau tau Ema dah ada kekasih!"
"Pasal apa pulak Shahir nak terkejut?" soal Syed Suhaimi. Hatinya bagaikan ditarik-tarik untuk mendengar tentang Tengku Shahir. Mungkinkah Shahir juga menyintai anaknya?
"Yalah, dorang berdua tu rapat sejak kecil. Rahsia Shahir rahsia Ema, rahsia Ema rahsia Shahir. Mana boleh Ema rahsiakan tentang kekasihnya dari Shahir," Tengku Zawawi mengukir senyuman nipis.
"Oh yer, Ema ada bagitau tadi. Tengku Shahir dah ada buah hati, betul ker Engku?"
Tengku Zawawi tersentak. Mata abang iparnya ditenung lama. Syed Suhaimi mengharapkan kepastian. Kasihan Sharifah Erma jikalau cintanya ditolak oleh Tengku Shahir kerana dia sudah ada kekasih hati.
"Mana ada," Tengku Zawawi menafikan khabar itu. Hatinya berdebar. Mestikah dia memberitahu Syed Suhaimi tentang Adira? Kalau diikutkan, inilah masa terbaik yang mereka ada. Tengku Habibah, Sharifah Erma dan Tengku Firdaus tidak bersama mereka di situ. Mestikah aku memberitahunya?
"Agaknya Engku nak bermenantu senyap-senyap kot?" usik Syed Suhaimi pula.
Tengku Zawawi ketawa kecil seraya menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Hai budak-budak. Shahir bukan Abang Syed tak kenal," Tengku Zawawi cuba mengelak soalan selanjutnya.
"Ema kata, kawan Shahir ada di rumah Engku sekarang. Betul ker?" Syed Suhaimi mengorek rahsia. Tengku Zawawi berdebar. Beberapa saat kemudian dia ketawa lagi.
"Oh kawan Shahir tu? Alah, tu kawan Shahir masa dia belajar kat US, dia turun KL saja nak habiskan cuti," Tengku Zawawi berdalih.
Syed Suhaimi mengukir senyuman nipis. Dia menarik nafas lega. Kalau benar statusnya hanya kawan kepada Shahir, mungkin kekecewaan Sharifah Erma tidak akan berlarutan.
Syed Suhaimi merenung siling. Tengku Zawawi melayan perasaannya. Bagaimana kalau akhirnya Syed Suhaimi mengetahui bahawa gadis Inggeris itu adalah anaknya?
Bagaimana penerimaan abang iparnya itu? Dan Tengku Habibah? Pasti hati kakak iparnya akan hancur berkecai apabila rahsia itu terbongkar nanti. Bagaimana pula dengan nasib Adira? Patutkah dia menunggu lama untuk bertemu ayahnya?
"Engku, sebenarnya abang rindu," luah Syed Suhaimi secara tiba-tiba sambil meletakkan tangan di bawah kepala. Tengku Zawawi menjeling Syed Suhaimi.
"Rindu? Kak Engku belum datang jenguk abang ker?" soal Tengku Zawawi meneka.
"Bukan, abang rindukan Adira!" Kata-kata yang diucapkan Syed Suhaimi mengejutkan Tengku Zawawi. Dia berasa darahnya menyerbu pantas ke muka. Tengku Zawawi menggelabah seketika.
"Hah, abang...abang nak saya cari dia ker?" soal Tengku Zawawi tergagap-gagap.
"Abang nak tau khabar dia," balas Syed Suhaimi.
Tengku Zawawi mengeluh. Hujung kaki Syed Suhaimi dipegangnya erat. Tengku Zawawi menjadi tidak menentu.
"Tiba-tiba jer abang teringatkan dia?"
"Mungkin kerana abang telah berdosa pada Adira dan mamanya," keluh Syed Suhaimi.
Tengku Zawawi dapat merasakan kesedihan lelaki itu semakin dalam. Ombak dadanya menunjukkan bahawa Syed Suhaimi sedang berperang dengan perasaan.
"Mana nak cari dia bang?" soal Tengku Zawawi, pura-pura tidak mengetahui di mana Adira berada.
"London barangkali. Atau Itali rumah neneknya."
"Dia mesti dah besar yer bang?" soal Tengku Zawawi lagi. Mahu meyakinkan abang iparnya tentang ketidaktahuannya tentang Adira.
"19 atau 20 tahun, abang tinggalkan dia masa umurnya baru setahun. Mesti dah dewasa, cantik dan tamat pengajian universitinya."
"Abang nak saya kesan di mana Adira?"
"Engku jer yang kenal Cheryl. Mungkin dia ingat lagi pada Engku."
"Abang ingat lagi tak masa abang kenalkan Cheryl pada saya? Saya macam tak percaya abang nak madukan Kak Engku dengan perempuan Inggeris tu," Tengku Zawawi mengungkit kisah silam.
"Cinta punya pasal Engku."
"Cinta abang masih ada lagi untuk Cheryl?"
"Ada tapi tak banyak." Tengku Zawawi menarik nafas panjang mendengar pengakuan Syed Suhaimi.
"Yang penting abang nak selamatkan Adira. Agama dan pegangannya," ucap Syed Suhaimi.
Tengku Zawawi tersentak. Dia meramas kaki abang iparnya sebelum berdiri dan melangkah pergi.
"InsyaAllah bang, saya akan usahakan." Tengku Zawawi berjanji. Sorotan mata Syed Suhaimi bagaikan mengandungi seribu harapan.
"Janji yer Engku, walaupun abang dah takde, Adira mesti diselamatkan," tutur Syed Suhaimi hiba.
Tengku Zawawi berdebar. Mungkinkah Syed Suhaimi akan 'pergi' dalam waktu terdekat ini? Tengku Zawawi kembali menoleh ke arah Syed Suhaimi. Aku harus memberitahunya sekarang, mesti!
"Abang Syed, sebenarnya..." Tengku Zawawi tergamam.
"Ada apa Engku?"
"Adira..." Namun kata-katanya terputus apabila Tengku Habibah menolak pintu dan terkejut melihat kehadiran Tengku Zawawi di situ.
"Ku Wi! Kak Engku ingat tak datang."
Tengku Zawawi hanya tersenyum. Syed Suhaimi memberi isyarat supaya tidak bercerita lagi tentang Adira. Sayang, dia terlambat untuk membuka mulutnya.
~BERSAMBUNG~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

mn sambungn nye??
ReplyDelete