"Can I help you?" Mata Tengku Zawawi merenung tepat ke wajah gadis berambut perang bermata coklat yang sedang berdiri di sebalik pintu pagar besi di depan rumahnya. Hairan, pagi-pagi begini ada seorang gadis asing yang baru turun dari teksi dan terus menghampiri pintu pagar rumahnya. Dan Tengku Zawawi mendengar gadis itu seperti memberi salam. Tetapi benarkah?
Tengku Zawawi tidak jadi memukul bola golf. Sebaliknya melangkah terus ke arah pintu pagar yang masih berkunci. Gadis itu cuba tersenyum. Beg sandang yang dipegang, diletakkan di hujung kaki. Sebelah tangannya menyebak rambut lurus halus yang hampir menutupi mata. Mata yang coklat bersinar, dengan kening nipis membuatkan Tengku Zawawi merenung gadis itu tanpa mengelipkan mata. Lebih-lebih lagi apabila dia merasakan seperti pernah melihat wajah itu. Tetapi siapa? Dan di mana?
"Looking for someone?" Tengku Zawawi mengulangi soalan.
Gadis itu kelihatan gugup. Dan cuba melarikan pandangan dari renungan Tengku Zawawi.
"Shahir!" ujarnya lancar. "Saya mencari Tengku Shahir."
Tengku Zawawi terkejut. Gadis itu pandai bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan fasih.
"Ini rumah Tengku Shahir, kan?" soal gadis itu mengharap kepastian. Matanya memerhati keadaan sekeliling. Dia seperti dalam kebimbangan.
Tengku Zawawi terus berasa hairan. Pagi-pagi begini, seorang gadis Inggeris yang fasih berbahasa Malaysia, datang mencari Shahir. Siapakah dia?
Tengku Zawawi mengangguk. Mengangkat tangan memberi isyarat untuk tunggu dan kemudian berundur beberapa tapak ke belakang.
Tengku Zawawi berlari-lari anak menuju ke banglonya. Ketika melintasi kolam renang di sebelah kiri laluan ke pintu utama, dia melihat Tengku Shahir sedang leka berenang. Sesekali dia mengapungkan badan, sesekali menyelam dan timbul beberapa minit kemudian.
"Shahir!" jerit Tengku Zawawi agak kuat.
Tengku Shahir tidak perasan jeritan ayahnya. Dia asyik menikmati kedinginan kolam renang yang berdasar biru. Tengku Shahir menyelam semula. Apabila timbul 3 minit kemudian, Tengku Zawawi sudah pun berdiri di tubir yang paling hampir dengannya.
"Shahir, ada orang cari!" Tengku Shahir terkejut sambil melepaskan nafas yang ditahannya.
"Sape yah?"
"Ayah tak tau. Dia cari Shahir."
Tengku Zawawi terburu-buru berlari menuju ke pintu.
Butang remote ditekan. Pintu besi terbuka. Tengku Zawawi bergegas semula ke kolam renang. Dia geram melihat Tengku Shahir masih tercegat, memerhatikan gadis berambut perang itu dari jauh.
"Cepatlah sikit Shahir." Laungan ayahnya agak kuat. Tengku Shahir terkejut sekali lagi.
"Sape yah?" soal anak muda itu sambil membuka shower head dan mencari arah yang ditunjukkan ayahnya.
"Ayah tak tau. Tapi dia sebut nama Shahir," ujar Tengku Zawawi yang bergegas semula menuju ke pintu pagar.
Tengku Shahir berenang ke tangga kolam. Dia mencapai tuala yang diletakkan pada tubir simen dan mengelap mukanya. Tuala dibalutkan ke tubuhnya yang hanya ditutupi swimming trunk getah yang sendat. Tengku Zawawi mempersilakan gadis itu masuk.
Tanda tanya mula menerpa kotak fikir Tengku Shahir, yang masih tercengang memerhatikan gadis itu dari jauh. Siapa gadis Inggeris yang mencarinya pagi-pagi begini?
Tak mungkin salah seorang rakan sekelas sewaktu menuntut di Universiti Elizabeth dulu. Dia tidak pernah rapat walaupun dengan seorang gadis Inggeris di universitinya. Siapakah gadis itu?
"Itu Shahir," ujar Tengku Zawawi.
Gadis itu mengangguk. Senyumannya menjadi lebih lebar apabila melihat wajah Tengku Shahir yang semakin hampir melangkah ke arahnya. Senyuman Adira yang manis itu segera mengingatkan Tengku Shahir kepada seseorang.
"Adira?" Tengku Shahir gugup menyoal.
Gadis itu mengangguk. Tengku Zawawi terkejut.
"Adira?" ucap Tengku Zawawi perlahan.
"Ayah, ni Adira... Adira yah!" Tengku Shahir cuba meyakinkan ayahnya. Tengku Zawawi ternganga kehairanan.
"Adira! Anak Abang Syed Suhaimi?" soal Tengku Zawawi.
Dadanya dilanda debaran. Wajahnya pucat tiba-tiba. Peluh dingin seperti memercik dari dahi dan seluruh tubuhnya. Menyebut nama Adira seakan menggetarkan seluruh rona darahnya. Tiba-tiba Tengku Zawawi bergegas pergi, meninggalkan kedua-duanya. Adira terkejut melihat reaksi lelaki itu Tengku Shahir juga hairan melihat sikap ayahnya.
"Maafkan ayah... dia..."
"Saya faham. Shahir, saya cuma nak jumpa awak. Saya takkan ganggu keluarga awak," ujar Adira perlahan. "Terima kasih kerana bagitau saya tentang ayah saya. Saya cuma nak jumpa dia," ujar Adira seakan hiba.
Tengku Shahir serba salah. Tangannya pantas mencapai beg pakaian Adira.
"Mari masuk dulu," ujarnya. "Awak bukan orang lain, keluarga kami juga."
~BERSAMBUNG~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

mmm.. best law... good!!
ReplyDelete